BEKAS pemain bola sepak England, Wayne Rooney tiba di mahkamah seperti dijadualkan selepas dituduh memandu di bawah pengaruh alkohol. Dia dilihat hadir dengan cincin perkahwinan masih di jari. Penyerang Everton berusia 31 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Stockport selepas ditahan ketika memandu kereta Volkswagen Beetle hitam di Wilmslow, Cheshire, pada jam 2 pagi, 1 September lalu. Timbul persoalan sama ada dia akan memakai cincin perkahwinannya atau tidak sebelum dia tiba, memandangkan perkahwinannya dikatakan goyah disebabkan isu ini. Bagaimanapun, isterinya, Coleen yang mengumumkan bahawa dia sedang hamil anak keempat pasangan itu minggu lalu tidak bersama Rooney. -fotoLNP/metroUK Tidak seperti Rooney, Coleen, sebelum ini dilihat tidak memakai cincin perkahwinan mereka ketika sedang membeli-belah di sebuah pasaraya, beberapa hari selepas bekas pemain Manchester United itu ditahan. Rooney tidak memberikan sebarang komen walaupun dia menjadi perhatian pihak media di luar mahkamah. Rooney ditangkap oleh polis Cheshire ketika memandu di Altrincham Road dan dibebaskan dengan jaminan pada hari berikutnya. Kereta yang dipandunya itu adalah milik Laura Simpson, seorang wanita yang ditemuinya di bar Bubble Room di Alderley Edge pada malam tersebut. Simpson turut mendakwa dia dan Rooney telah bercium dan berpelukan dan akan melakukan hubungan seks jika Ronney tidak ditahan. Coleen dilaporkan bengang dengan apa yang berlaku dan melarikan diri ke rumah ibu bapanya bersama anak-anaknya. Dia juga didakwa meminta suaminya meminta cuti simpati daripada pengurus kelab untuk memberi masa kepada isu rumahtangga. Sementara itu, dalam pendengaran hari ini, Rooney telah mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk. Dia dilarang memandu selama dua tahun dan diarahkan melakukan kerja tanpa gaji selama 100 jam sebagai sebahagian daripada perintah khidmat masyarakat selama 12 bulan. Rooney juga diperintahkan membayar £170 apabila dia muncul di mahkamah. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pendengaran, Rooney berkata: "Susulan pendengaran mahkamah hari ini, saya secara terbuka mahu memohon maaf atas kesalahan memandu yang melanggar undang-undang. "Saya telah memohon maaf kepada keluarga saya, pengurus dan pengerusi dan semua orang di Everton FC. Sekarang saya ingin meminta maaf kepada semua peminat, pengikut dan penyokong sepanjang karier saya. "Sudah tentu saya menerima hukuman mahkamah dan berharap saya dapat membuat perubahan melalui khidmat komuniti."