KELAB Sepanyol, Real Madrid berhak untuk terus mencuba mendapatkan penjaga gol David de Gea, tetapi rakan sepasukannya percaya penjaga gol itu sudah mempunyai segala-galanya di Manchester United. Ander Herrera melihat tiada sebab untuk De Gea meninggalkan United untuk Madrid, kerana pemain tengah itu menganggap kelab Inggeris itu tidak kurang hebatnya dan berada tidak jauh di belakang kelab gergasi Sepanyol tersebut. De Gea telah berkembang menjadi penjaga gawang terbaik dunia sejak bergabung dengan United dari Atletico Madrid pada tahun 2011 dan sering dikaitkan dengan kepulangan ke kota asalnya. Madrid dilaporkan hampir menandatangani pemain antarabangsa Sepanyol itu pada tahun 2015, tetapi akhirnya terlepas dan beberapa hari kemudian De Gea meneruskan komitmen dengan menandatangani kontrak sehingga 2019, berserta satu tahun pilihan. Herrera menjangkakan Madrid akan terus membuat tawaran kepada De Gea pada tahun-tahun akan datang, tetapi pemain berusia 28 tahun itu yakin United adalah sebuah kelab yang hampir sama tarafnya dengan kelab juara Eropah itu. "Saya menghormati semua penjaga gol seperti Manuel Neuer, Gianluigi Buffon dan Marc-Andre ter Stegen," kata Herrera. "Tetapi David sekarang adalah pemain nombor satu dunia. "Dia mahu menjadi legenda di kelab ini, sesuatu yang penting bagi kami. Dia mempunyai kualiti. Dalam bahasa Sepanyol kami menyatakan ia anugerah dari Tuhan. Dia berbeza. "David sangat gembira buat masa ini kerana kami berjuang untuk segala-galanya. Real Madrid akan terus membincangkannya setiap musim panas sebab dia adalah penjaga gol terbaik di dunia, tetapi kami tidak fikir kami begitu jauh dari Real Madrid." -goal.com