KUALA LUMPUR: Pasukan ibu kota Kuala Lumpur terus menerajui kedudukan sebagai pendahulu saingan Liga Perdana setakat ini bersama Terengganu dengan masing-masing mengumpul 44 mata selepas perlawanan Selasa malam. Bagaimanapun Kuala Lumpur gah berada di tangga teratas liga dengan kelebihan jaringan di mana mereka memperolehi 44 gol selepas 20 perlawanan berbanding Terengganu dengan 38 gol. Kuala Lumpur menambah tiga mata penuh selepas menewaskan UiTM FC 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada Selasa malam. Tuan rumah menguasai babak pertama perlawanan dan mendahului jaringan menerusi penyerang dari Nigeria, Akanny Sunday Wasiu pada minit ke-35, bagaimanapun Guilherme de Paula berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-74 dan kemudiannya berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90. Penjaga gol UiTM FC, Mohamad Soffuan Tawil diarah keluar padang oleh pengadil Fitri Maskon selepas mengutip dua kad kuning. Fitri memberikan sepakan penalti kepada Kuala Lumpur selepas Mohamad Soffuan mengasari pemain Kuala Lumpur, Abdul Manaf. - Bernama