KUALA LUMPUR: Muhammad Hafiz Abu Bakar berpuas hati selepas usahanya untuk meraih pingat emas akhirnya tercapai selepas berusaha keras pada aksi peringkat akhir lontar peluru Sukan Para Asean di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis. Hafiz yang bersaing bagi kategori T36/T37 (celebral palsy) merangkul pingat emas dengan pungutan lontaran 387 mata, diikuti rakan senegara Shamli Waidi (356) dan dari Indonesia Ahmad Fauzi yang mengumpul 321 mata. Menurut atlet kelahiran Johor Bahru ini, pada aksi lempar cakera semalam (Rabu) dia meraih pingat perak setelah diberi saingan sengit oleh peserta Indonesia. "Tahun ini prestasi atlet Indonesia lebih baik berbanding dua edisi sebelum ini. "Semalam saya tewas kepada mereka (acara cakera), namun hari ini saya bangkit walaupun sistem mata lebih sukar apabila kategori digabungkan (T36/T37). "Saya bermain dalam katagori T37 dan sudah tentu perlu mengumpul mata yang lebih banyak daripada kategori di bawah saya (T36)," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Hafiz yang berusia 34 tahun menyertai Sukan Para Asean kali ketiga ini menghadiahkan pingat emasnya itu kepada anaknya yang berusia lima tahun. "Saya memang gembira. Semalam (Rabu) isteri saya juga meraih pingat emas (Siti Noor Iasah Mohamad, 400 meter). "Kejayaan ini juga penting untuk mengumpul mata ke Sukan Asia di Indonesia tahun depan. Saya memang berpuas hati dengan balingan kali ini," ujarnya. Selain itu, Hafiz yang bekerja sendiri sebagai pekebun kecil di kampungnya menyeru supaya semua ibu bapa yang mempunyai anak dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) supaya menyertai acara sukan. "Pelbagai acara sukan disediakan. Jangan malu dan segan. Saya sendiri mengalami masalah kecacatan sejak berusia setahun akibat demam panas. "Tetapi saya tidak menjadikan kecacatan ini sebagai halangan untuk berjaya. Walaupun sebagai atlet separuh masa, ia memberi mampu menjadikan hidup saya lebih baik. "Saya juga bekerja sendiri menanam pisang, sayur dan menternak lembu," jelasnya.