KOTA BHARU: Ketua Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail meminta pemainnya tidak memilih jalan sukar sehingga terpaksa menantikan perlawanan terakhir Liga Super musim ini bagi menentukan Kelantan kekal bersaing dalam liga utama itu musim depan. Sebaliknya, beliau mahu mereka memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mengutip tiga mata penuh ketika menentang pasukan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam Rabu. "Perlawanan malam esok ibarat pentas perlawanan akhir bagi Kelantan, kami amat memerlukan tiga mata di sini (Kota Bharu) jika tidak ianya akan menjadi masalah kepada pasukan kami kerana terpaksa menunggu perlawanan terakhir menentang Melaka United (21 Oktober depan) dan juga terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Kelantan perlu menang dua perlawanan terakhir Liga Super bagi mengelakkan tersingkir ke Liga Perdana musim depan. Kelantan akan bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam Rabu manakala perlawanan terakhirnya akan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka 21 Oktober depan. Zahasmi berkata pemain yang diturunkan beraksi pada perlawanan malam Rabu perlu memberikan tumpuan sepenuhnya serta menggunakan segala kemampuan mereka untuk menewaskan pasukan lawan. "Saya mahu pemain menutup rekod perlawanan di tempat sendiri pada musim ini dengan kemenangan dan sekali gus pada perlawanan terakhir nanti di tempat lawan tidak memberikan tekanan kepada kami untuk kekal bersaing pada Liga Super,” katanya. Beliau berkata sekiranya Kelantan dapat menewaskan PKNS FC ianya membolehkan The Red Warriors menjarakkan mata daripada pasukan di bawah liga iaitu Sarawak yang kini menjadi pasukan pesaing sengit untuk kekal di Liga Super. Katanya dengan kemenangan malam Rabu, pemainnya juga dapat membalas kesungguhan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan tunggakan gaji mereka sebelum ini. "Bayaran tunggakan gaji kepada pemain semalam diharap akan memberi motivasi kepada mereka untuk memperoleh kemenangan pada dua perlawanan terakhir," katanya. - BERNAMA