PETALING JAYA: Perlawanan di antara Malaysia dan Korea Utara bagi aksi Kelayakan Piala AFC 2019 ditangguhkan lagi. Menurut kenyataan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), penangguhan ini dibuat berikutan Kementerian Luar melarang rakyat Malaysia ke negara tersebut berikutan ketegangan memuncak di Semenanjung Korea berhubung ujian peluru berpandu Korea Utara. "AFC akan berbincang lebih lanjut mengenai status perlawanan ini," jelas kenyataan tersebut. Skuad Harimau Malaya dijadual bertemu Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober ini. Penanggguhan ini merupakan kali yang ketiga dibuat berikutan jadual asal perlawanan pada 28 Mac ditunda kepada 8 Jun lepas selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu. Berikutan ketegangan yang berlanjutan itu, aksi tersebut sekali lagi ditunda ke 5 Oktober ini, sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober. Selain itu pada Mei lalu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata, skuad Harimau Malaya masih boleh beraksi di gelanggang berkecuali jika kerajaan Malaysia mengeluarkan sekatan perjalanan ke Korea Utara selepas ini. Untuk rekod perlawanan, Malaysia membuka kempen kelayakan terakhir itu dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 September di Stadium Hang Jebat, kini menduduki tempat terakhir antara empat pasukan di Kumpulan B dengan satu mata. Lubnan berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata, diikuti Korea Utara di tempat kedua menerusi kelebihan jaringan walaupun berkongsi dua mata dengan Hong Kong. Malaysia perlu mencapai kedudukan dua teratas untuk layak ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dijadualkan bermula 5 Januari hingga 1 Februari 2019.