PRESIDEN Kelab Bayern Munich mengakui terpaksa memecat Carlo Ancelotti. Uli Hoeness berkata, dia tidak mempunyai pilihan selepas lima pemain senior tidak sependapat dengan Ancelotti. Ancelotti dipecat selepas tewas 3-0 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara Khamis lalu yang turut menyaksikan tiga pemain senior Mats Hummels, Arjen Robben dan Franck Ribery berada di bangku simpanan. Media Jerman memberitahu, trio itu antara lima pemain yang tidak menyokong Ancelotti termasuk pemain pertahanan Jerome Boateng dan penyerang Thomas Muller. Hoeness juga memberitahu bahawa Kongsley Coman antara pemain yang tidak bersetuju dengan pilihan Ancelotti. "Saya mempelajari sesuatu dalam hidup ini - musuh dalam selimut adalah yang paling bahaya. Itulah yang perlu dihadapi. "Sedia maklum, pada pandangan saya, beberapa hari lepas jurulatih meminggirkan lima pemain penting yang menentangnya, juga Coman, yang tidak beraksi," jelasnya kepada Radio FFH. Ancelotti kini dilaporkan berminat untuk kembali ke kelab lamanya, AC Milan, manakala Bayern pula sedang mencari penggantinya. Pemandu jurulatihnya, Willy Sagnol mengambil alih tuga utama untuk sementara waktu, namun Hoeness memberitahu kelab mahu pengurus baharu selepas cuti aksi antarabangsa nanti.