TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba Antonio Conte dilaporkan bersedia untuk meninggalkan Chelsea pada hujung musim ini. The Sunday Times melaporkan, hubungan pengendali dari Itali itu dengan lembaga pengarah Chelsea mula dingin selepas gagal memenuhi kehendaknya untuk membawa masuk pemain sasaran utama pada Ogos lalu. Conte terlepas pemain seperti Alex Oxlade-Chamberlain, Alex Sandro. Danilo dan Romelu Lukaku. Walaupun Chelsea membelanjakan 58 juta pound sterling terhadap Alvaro Morata, kelab itu turut bergelut untuk mendapatkan khidmat Davide Zappacosta dan Danny Drinkwater yang masih belum melakukan penampilan sulung mereka. Conte dikhabarkan nyaris meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas lalu dan Inter pernah mencuba nasib untuk mendapatkan khidmatnya. Namun spekulasi itu kembali hangat diperkatakan awal minggu ini apabila Conte mengakui dia amat merindui Itali dan tidak berhasrat untuk kekal lama di England. "Saya amat merindui Itali, itu tidak dinafikan. "Saya tidak terfikir akan kekal lama di sini. Itali negara saya. Saya akan kembali, saya tidak tahu bila tapi itulah impian saya," katanya. Ketika ditanya mengenai negara yang mahu dipimpinnya selepas ini, Conte menolak untuk berhijrah ke China tetapi terbuka untuk mengendali kelab di Jerman. "China? Sudah tentu tidak. Bundesliga? Agak sukar untuk meramal masa depan. Mari kita katakan seorang jurulatih adalah pekerja sementara," katanya. Conte menandatangani kontrak baharu pada musim panas lalu yang menyaksikan dia kekal di Stamford Bridge sehingga 2019.