suria

Irfan Penuhi Impian Arwah Bapa

PETALING JAYA: Kalau arwah ayah ada mesti 'best', jelas pemain Bawah 23 Tahun negara, Muhammad Irfan  Zakaria.

Pemain pertahanan skuad Kuala Lumpur ini mengakui hasratnya untuk bergelar pemain bola sepak profesional sudah tercapai, namun perlu lebih bekerja keras.

"Saya berterima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberi sokongan sejak aktif dalam sukan bola sepak ketika di bangku sekolah lagi sehinggalah terpilih menyertai pasukan Harimau Muda B.

"Kalau arwah ayah saya ada, mesti dia juga turut bangga melihat peningkatan saya dalam bidang bola sepak. Ini juga harapannya yang selalu mahu melihat saya berjaya," ceritanya kepada mStar Online.

Jelas Irfan, ayahnya meninggal dunia tiga tahun lalu akibat serangan jantung ketika beliau meniti usia remaja.

"Memang terasa kehilangan juga memandangkan ibu, Norhayati Mat Aris dan ayah sentiasa ada melihat saya bermain. Tetapi kehilangan orang tersayang itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik.

"Dan saya bersyukur usaha gigih selama ini semakin menampakkan hasilnya. Dan saya tidak akan mensia-siakan setiap peluang yang datang," jelas pemain kelahiran Kuala Lumpur ini.


Irfan,22, antara pemain The City Boys yang turut membantu membawa Kuala Lumpur ke saingan Liga Super musim depan selepas 2012.

"Saya gembira kerana dapat membantu pasukan ke Liga Super setelah lama bermain di Liga Perdana.

"Perancangan saya untuk berlatih lebih kuat lagi supaya pasukan saya akan kekal bersaingan dalam Liga Super.

"Kita semua maklum bahawa aksi Liga Super sangat sengit," jelas anak bongsu daripada dua adik beradik ini.

Dalam pada itu, Irfan mengakui dia akan kekal bersama skuad kendalian Fabio Magrao untuk musim akan datang.

"Kontrak saya bersama KL sehingga tahun depan dan setakat ini hanya mahu fokus kepada pasukan ini. Tidak ada tawaran daripada pasukan lain setakat ini," tambahnya.

Selain itu, Irfan merupakan antara pemain penting dalam skuad B-23 negara yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Irfan Zakaria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Bukan Tutup Pintu Selamanya"

Artikel Lain