JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat cubaan beberapa exco dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang cuba menyingkirkan beliau sebagai Presiden FAM. Tunku Ismail menegaskan usaha-usaha itu dilakukan beberapa anggota exco FAM yang seringkali tidak sependapat dengan baginda dalam soal menguruskan hal bola sepak negara. "Sebagai presiden, saya tahu benda ini tengah berlaku tetapi selagi saya berada dalam FAM, jangan haraplah," tegas baginda kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Rabu. Tunku Ismail menegaskan usaha menyingkirkan beberapa individu dalam pucuk kepimpinan tertinggi bola sepak Malaysia itu, tidak hanya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) Kevin Ramalingam, malah turut dihadapi dirinya sendiri. Baginda berkata demikian ketika diminta mengulas kononnya terdapat cubaan untuk menyingkirkan Kevin Ramalingam daripada FMLLP, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu. Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail bertitah beberapa penstrukturan akan dilakukan dalam kelab JDT tahun depan. Penstrukturan ini termasuk melantik bekas pemain pasukan itu Luciano Figueroa sebagai duta kelab dan duta hubungan antarabangsa selain menjadikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani sebagai Pengerusi Yayasan JDT. Tunku Aminah Sultan Ibrahim, Datuk Ismail Karim, Alistair Edwards dan Martin J. Hugo Prest pula, masing-masing kekal sebagai Presiden Kelab JDT, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Pengarah Teknikal JDT dan Pengarah Sukan JDT. Beliau berkata, penstrukturan itu akan membolehkan JDT mendapat lebih banyak penajaan daripada syarikat-syarikat antarabangsa serta mencatat bukan sekadar pencapaian di atas padang, malah di luar padang. Mengenai pemain import baharu pada musim depan, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab JDT bertitah seorang atau dua pemain dijangka dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan berkenaan.- Bernama