PETALING JAYA: Mohd Sharbinee Allawee Ramli masih bersama skuad Terengganu biarpun terpaksa bercuti panjang akibat masalah kesihatan. Jurucakap Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) memberitahu, kebajikan Mohd Sharbinee selaku pemain negeri ini tetap dijaga. "Tidak ada yang berubah walaupun dia dalam rawatan pemulihan kerana masalah kesihatan. Kami juga tetap memberi gaji bulanan kepadanya. "Mengenai statusnya, kontraknya akan berakhir bulan depan. Namun kami membuat sebarang perbincangan kerana musim Liga Perdana belum tamat. "Dia kini sedang menjalani rawatan tehadap penyakitnya (masalah paru-paru) dan menampakkan perkembangan yang baik," ujar jurucakap PBSNT itu. Pada Februari lalu, Mohd Sharbinee,30, dilaporkan mengalami masalah jangkitan paru-paru dan dilaporkan pernah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan. Dalam pada itu, skuad Penyu ini bakal beraksi pada perlawanan terakhir Liga Perdana menentang PKNP pada 20 Oktober. Perlawanan itu juga sebagai penutup Liga Perdana buat anak buah Irfan bakti Abu Salin yang layak bersaing dalam Liga Super musim 2018. "Kami hanya ingin fokus kepada perlawanan terakhir walaupun telah layak ke Liga Super. Jadi kami tidak ada sebarang perbincangan mengenai kontrak pemain atau lain-lain. "Tidak dinafikan ada juga mengintai pemain baharu, tetapi belum ada apa-apa keputusan. Tunggu sahaja nanti selepas 30 Oktober ini," ujar jurucakap tersebut. Terengganu kini berada di tangga kedua liga berkongsi mata bersama Kuala Lumpur di tempat pertama dengan 47 mata. Sebelum ini kedua-dua pasukan telah menempah dua slot terbaik untuk mara ke Liga Super musim depan. Untuk rekod, Mohd Sharbinee merupakan bekas pemain kebangsaan sejak 2006 bermula dengan Skuad Bawah 23 Tahun sebelum menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun 2010-2011.