IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berbangga dengan semangat juang ditonjolkan pemain importnya, Thiago Junior Aquino yang sanggup mengetepikan kecederaan di bahagian hidung bagi meneruskan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 menentang Johor Darul Ta'azim (JDT) di sini pada Ahad. Setiausaha Kehormatnya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata berlaku pendarahan yang agak serius di bahagian hidung Thiago Junior, namun pemain yang berasal dari Brazil itu tidak mahu ditukarkan dengan mana-mana pemain. "Dia sendiri mahu terus beraksi walaupun pada satu ketika terpaksa membalut sendiri pendarahan yang berlaku di bahagian hidungnya. "Pujian juga harus diberikan kepada Thiago Junior yang terus mahu beraksi membantu Perak walaupun dalam keadaan seperti itu," katanya kepada pemberita di Pejabat Pafa di sini, pada Isnin. Beliau berkata pujian turut dihamburkan kepada pemain lain yang beraksi penuh komitmen menentang JDT walaupun gagal melakar kemenangan di halaman sendiri. "Kita tahu kekuatan yang dimiliki JDT namun para pemain tidak gentar dan terus beraksi bagi mengekang asakan yang dilakukan lawan," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Shahrul yang juga pengurus pasukan Perak mengakui kesilapan individu yang dilakukan ketua pasukan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam memberi peluang kepada JDT untuk menyamakan kedudukan dengan seri 1-1. Bagaimanapun katanya, beliau percaya kesilapan yang dilakukan itu tidak akan berulang pada aksi sama di Larkin, Johor Sabtu depan. "Memang ada sedikit kesilapan tapi kita janji akan perbetulkan. Kita juga akan lebih fokus untuk mencatatkan kemenangan pada pertemuan separuh akhir kedua nanti," katanya. - Bernama