PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho akhirnya bercakap tentang desas-desus bahawa dia mahu berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG). Mourinho berkata tiada apa yang berlaku dalam kontraknya di Manchester United, menegaskan bahawa dia tetap tidak akan mengakhiri kerjayanya di kelab itu, tetapi menolak dakwaan dia akan ke PSG. Mourinho mempunyai kontrak dengan United hingga 2019 tetapi mencetuskan spekulasi tentang masa depannya dalam satu temu bual dengan televisyen Perancis pada hujung minggu yang mana dia melihat PSG sebagai sebuah kelab yang positif. "Paris mempunyai sesuatu yang istimewa, ada keajaiban dan kualiti. Ia menakjubkan," katanya. United sedang mendahului dalam kumpulan Liga Juara-Juara dan mengekori rapat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Bagaimanapun, Mourinho nampak tidak selesa apabila ditanya mengenai PSG pada sidang akhbar menjelang perlawanan United di Benfica. "Saya fikir media Inggeris tahu jawapannya," kata Mourinho. "Sebab dalam satu hari mereka kata saya akan menandatangani kontrak lima tahun, £1 bilion semusim dan pada keesokan harinya mereka kata saya akan pergi ke PSG. "Tiada apa yang berlaku, saya tak menandatangani kontrak baharu lima tahun, saya di Manchester United, saya mempunyai kontrak dan itu saja. Saya tidak fikir ada jawapan untuk itu, saya tidak dalam keadaan untuk menjawabnya kerana tidak ada jawapan, saya ada kontrak, itu sahaja. "Kontrak saya berakhir pada Mei/Jun 2019, sekarang Oktober 2017, jadi saya tak tahu apa yang perlu saya kata dan saya fikir anda pun tak tahu nak kata apa, kerana ada harinya anda kata saya akan tandatangan kontrak selama lima tahun dan keesokan harinya anda kata saya akan pergi, jadi saya tak fikir anda pun tahu apa yang mahu dikata. "Satu-satunya perkara yang saya telah kata dan tak ada salah tafsiran adalah saya tidak akan menamatkan kerjaya saya di Manchester United," katanya. -ManchesterEvening