KUALA LUMPUR: Pemain remaja kebangsaan, Leong Jun Hao meneruskan prestasi cemerlangnya apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia pada Khamis. Pemain pilihan keempat itu menewaskan pilihan ke-15, Leo Rossi dari Perancis 21-16, 21-17 pada pusingan kelima acara perseorangan lelaki yang berlangsung di Arena Sukan Gor Amongrogo, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.com. Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei juga mara ke suku akhir selepas menumpaskan pilihan ke-16, Choirunnisa Choirunnisa dari Indonesia 21-15, 21-19, namun rakan sepasukannya Eoon Qi Xuan tersingkir daripada kejohanan itu apabila tewas 6-21, 8-21 kepada pilihan utama dari Thailand, Pattarasuda Chaiwan. Harapan Malaysia dalam acara beregu wanita, pula berakhir di pusingan kelima selepas satu-satunya wakil negara yang diletakkan selaku pilihan keenam Pearly Tan Le Koong/Toh Ee Wei dikejutkan apabila tumpas 21-19, 10-21 dan 15-21 kepada pilihan ke-10, Xia Yuting/Zhang Shuxian dari China. Dua pasangan beregu campuran Malaysia pilihan kesembilan, Ng Eng Cheong/Toh Ee Wei dan Man Wei Chong/Tan Sueh Jeou pula berdepan nasib berbeza pada pusingan kelima itu. Ng/Toh mencipta kejutan apabila menumpaskan pilihan ketujuh, Ruttanapak Oupthong/Chasinee Korepap dari Thailand, 21-17 dan 21-18, manakala Man/Tan ditunjuk jalan keluar apabila kalah 21-19, 22-24 dan 13-21 kepada Daniel Lundgaard/Amalie Magelund dari Denmark. Turut mara ke suku akhir adalah Kwek Yee Jian/Man Wei Chong yang mengalahkan rakan sepasukan Chia Wei Jie/Tee Kai Wun 21-14 dan 21-14 dalam acara beregu lelaki.-Bernama