KUALA LUMPUR: Dua pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew bersedia mempertimbangkan tawaran beraksi dengan mana-mana pasukan tempatan pada musim depan. Bagi Mohd Faiz yang merupakan pemenang anugerah Puskas FIFA 2016, fokusnya kini adalah membantu skuad Harimau Kumbang mencatat kemenangan ke atas Selangor pada aksi Liga Super di laman sendiri, 28 Okt ini. "Saya tidak pasti lagi sama ada akan kekal atau tidak bersama Pulau Pinang kerana kontrak saya akan tamat pada bulan depan namun fokus saya kini adalah membantu pasukan mencatat keputusan positif berdepan Selangor nanti. "Dalam masa terdekat, saya mungkin ada berjumpa dengan pengurusan berhubung kontrak saya, namun jika ada rezeki yang lebih baik di tempat lain, saya akan pertimbangkan," katanya. Berkongsi pandangan sama, Muhammad Jafri juga sedia mempertimbangkan tawaran daripada pasukan lain sekiranya ia dapat membantu mengembangkan kariernya. "Kontrak saya dengan Pulau Pinang habis pada hujung tahun ini dan saya tak tahu lagi hala tuju pada musim depan. "Jika ada pasukan berminat mendapatkan khidmat saya, saya mungkin akan pertimbangkan namun saya akan mendapatkan pandangan daripada ahli keluarga saya terlebih dahulu terutamanya restu ibu bapa saya," jelas Muhammad Jafri yang merupakan penyerang skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan. Pulau Pinang sah tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan setelah menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super dengan kutipan 12 mata daripada 21 perlawanan.