RYAN Giggs mengesahkan bahawa beliau berminat dengan kekosongan jawatan pengurus di Everton dan Leicester City. Ronald Koeman dipecat sebagai pengurus Everton pada Isnin berikutan kekalahan 2-5 oleh Arsenal, manakala kekosongan di Leicester bermula minggu lalu apabila Craig Shakespeare meninggalkan Stadium King Power. Giggs tidak berkhidmat dalam pengurusan sejak mlepaskan jawatan penolong pengurus di Manchester United selepas pelantikan Jose Mourinho. Bekas pemain sayap itu yang merupakan pemilik bersama Salford City, bersuara mengenai bagaimana menguruskan sama ada Everton atau Leicester sebagai satu cadangan yang menarik. "Saya fikir anda melihat pada kedua-dua pasukan, Leicester menjadi juara dua musim lalu, Everton menjadi kelab yang bagus dengan sejarah yang hebat. "Bagi saya kedua-dua kelab itu menarik perhatian saya" kata Giggs kepada Sky Sports. "Bagaimanapun, terdapat banyak jurulatih di luar sana yang turut berminat dengan jawatan tersebut. "Saya sentiasa mengatakan bahawa saya akan terbuka kepada kelab yang berkongsi matlamat yang sama. Saya mahu memperbaiki kelab dan meningkatkan prestasi pemain, untuk selesa bekerjasama dengan mereka dan pemain sedia berdepan dengan cabaran," tambah Giggs. Giggs yang berusia 43 tahun pernah dikaitkan dengan jawatan sebagai pengurus Norwich City pada awal tahun ini. - Mail Online