suria

Kedah Tidak Ketandusan Pemain Pelapis

ALOR SETAR: Pemain muda yang beraksi cemerlang pada  aksi terakhir di laman sendiri Liga Super bertemu JDT malam Sabtu membuktikan Kedah tidak ketandusan pemain pelapis, kata Ketua Jurulatihnya Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Beliau berkata mereka telah menunjukkan tahap permainan yang tinggi dan berupaya mengikat pasukan lawan untuk berkongsi satu mata tanpa sebarang jaringan.

“Player ( pemain)  tahu pentingnya bermain di sini dan mereka bermain seperti skuad senior.

“Saya melihat Kedah tidak berdepan dengan ketandusan pemain tempatan yang berbakat untuk masa hadapan,” katanya kepada pemberita di sini, malam Sabtu.

Pada aksi itu, Kedah secara keseluruhannya dibarisi pemain muda dan dibantu seorang pemain import  Liridon Krasniqi.

Keputusan itu meletakkan skuad Hijau kuning berada di tangga keempat dalam carta Liga Super musim ini manakala JDT kekal di puncak liga.

Dalam pada itu, Mohd Nidzam berharap penyerangnya, Ken Ilso Larsen dapat beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu JDT di Stadium Shah Alam pada 4 November ini.

“Kita mengharapkan Ken Ilso dapat beraksi pada final nanti, setakat ini laporan daripada pasukan perubatan memberitahu kecederaannya semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan JDT, Ulisses Morais berkata anak buahnya akan membuat persediaan rapi dengan harapan untuk memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia  itu nanti.

Mengulas perlawanan tersebut, beliau berkata secara keseluruhan pasukannya  berjaya mengawal permainan dan mencipta peluang-peluang untuk menjaringkan gol walaupun gagal mengatasi tuan rumah. 

Kedah, Liga Super

Artikel Sebelum

Moto3: Joan Mir Muncul Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain