KOTA BHARU: Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat belum memikirkan tawaran dikemukakan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) yang berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. Khairul Fahmi berkata tawaran MUSA itu merupakan suatu perkembangan yang positif dalam perkembangan kariernya sebagai penjaga gol. Namun, pada masa sama, Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek menegaskan dia masih menghormati baki kontrak bersama Kelantan yang hanya tamat pada musim depan. “Saya berterima kasih kepada MUSA kerana menawarkan kontrak untuk beraksi bersama Melaka United musim depan, namun buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya membuat sebarang keputusan. “Saya belum menetapkan hala tuju untuk bermain dengan mana-mana pasukan kecuali Kelantan buat masa ini,” katanya. Akhbar sebelum ini, melaporkan Melaka United sedia mendapatkan khidmat bekas penjaga gol kebangsaan itu bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan Liga-M musim depan. - BERNAMA