PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang menjuarai Liga Perdana 2017 menyasar untuk berada pada kedudukan lima teratas Liga Super musim depan. Penaungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil untuk deicapai memandangkan KLFA pernah mempamerkan aksi terbaik mereka pada era 80-an. “Kita pernah menjadi juara ketika tahun 80-an dulu dan saya percaya jika kesemua pemain bekerja keras kita mampu mencapai kedudukan lima teratas," katanya kepada media pada majlis penyampaian Piala Liga Perdana 2017 pada Selasa. Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata soal kewangan buat masa ini bukan merupakan masalah kepada pasukan tersebut kerana pihaknya sedia membantu selain mencari para penaja lain. “Setakat ini segalanya berjalan lancar dengan pengurusan pasukan melakukan perbelanjaan secara berhemah dan tidak berbelanja mewah,”katanya. Mengenai isu keadaan padang bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata stadium itu dijangka sedia untuk digunakan akhir tahun ini. “Kita harap pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memberi kelulusan penggunaan padang tersebut sesuai dengan standard yang telah ditetapkan oleh FAM. “Saya amat yakin akhir tahun ini, padang tersebut akan dapat diguna pakai pasukan KLFA selain kita akan membenarkan untuk kelab-kelab lain dan warga Wilayah Persekutuan untuk turut mengadakan perlawanan bola sepak di situ,” katanya.- Bernama