SANTI Cazorla tampil bercerita mengenai derita kecederaan yang ditanggungnya dengan mendedahkan kakinya nyaris dipotong akibat jangkitan gangren. Pemain tengah Arsenal itu menjalani pembedahan sebanyak lapan kali untuk memulihkan kecederaan Achilles di kaki kanannya. Akibatnya, Cazorla hilang lapan sentimeter otot tendonnya atau dia berdepan risiko tidak boleh berjalan semula. Dia tidak beraksi sejak awal musim lalu. Cazorla mengalami jangkitan itu semasa menjalani salah satu pembedahan yang memberi risiko jika tidak dirawat akan menyebabkan kakinya terpaksa dipotong. "Masalahnya kecederaan itu tidak pulih dan luka itu akan terbuka dan senang dijangkiti kuman. "Jika anda boleh berjalan semula dengan anak anda di sebuah taman, anda patut berpuas hati, kata doktor kepada saya," kata Cazorla. Cazorla menggunakan kulit di bahagian lengannya untuk menggantikan kulit di sekitar tendon sekali gus meninggalkan kesan parut yang jelas pada bahagian tumitnya. Dia kini masih menjalani rawatan pemulihan di sebuah klinik milik pakar fisioterapi Sepanyol, Juan Carlos Herraez di Salamanca, dua jam dari barat Madrid. "Saya masih belum pulih sepenuhnya tapi saya akan kembali. Hampir setiap hari saya menerima mesej dari Iniesta, Silva dan Villa. "Saya melalui kecederaan yang tidak boleh dibayangkan oleh orang lain. Tiada siapa mempercayai saya tetapi saya tetap yakin walaupun kesakitan ini mengajar saya untuk lebih berhati-hati," katanya.