SELEPAS hampir lima tahun meninggalkan dunia bolasepak, nama legenda Kedah Radhi Mat Din kembali menjadi perhatian apabila dikaitkan dengan final Piala Malaysia 2017 di Shah Alam pada malam Sabtu. Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah mencadangkan untuk menjemputnya ke majlis pembukaan tirai Perlawanan Akhir Piala Malaysia namun pilihan itu didakwa tidak dipersetujui oleh exco Kedah. Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman facebook rasmi persatuan tersebut, malam Khamis. Radhi ketika dihubungi Sinar Harian mengakui FMLLP pada Rabu lalu telah menghubunginya dan bersetuju untuk hadir selepas berfikir panjang. Bagaimanapun, jemputan kepada bekas Penolong Jurulatih Kedah itu ditarik balik pada Khamis juga melalui panggilan telefon oleh pihak berkenaan kerana pencalonannya tidak dipersetujui. Menurutnya, walaupun agak terkesan beliau masih tidak berkecil hati kerana pada awalnya sudah ragu-ragu untuk ke Shah Alam menyaksikan perlawanan bekas pasukannya bertemu JDT malah menyifatkan ia adalah perkara yang lumrah kerana pernah dilaluinya sebelum ini. Gambar Radhi ketika melalui zaman mudanya. "Saya sebenarnya tidak terlalu memikirkan perkara tersebut kerana selepas saya meninggalkan pasukan Kedah (pada tahun 2013), saya hampir langsung tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak walaupun pernah diajak dan dipujuk beberapa kali oleh banyak pihak sebelum ini untuk kembali aktif. Bagaimanapun, di sudut hati ini saya akui Kedah merupakan keluarga kedua saya kerana pernah berada di dalam pasukan sebagai pemain dan jurulatih selama 25 tahun," katanya yang muncul kapten Kedah paling lama dalam sejarah setakat ini bermula 1991 hingga 2000. Mengulas berkenaan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, Radhi yang terkenal dengan gelaran Kapten Marvel suatu ketika dahulu di kalangan peminat berharap Kedah mampu mengekalkan gelaran juara Piala Malaysia yang dimenangi pada musim lalu. Menurutnya, beliau percaya ia merupakan antara hadiah istimewa yang mampu dipersembahkan buat Sultan Kedah baharu, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. "Jika Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah masih ada percayalah baginda antara yang gembira dengan pencapaian ini kerana sebelum ini baginda tidak pernah ketinggalan memberikan sokongan yang padu buat Hijau Kuning," katanya. Antara pencapaian membanggakan pernah dicapai oleh beliau sebagai pemain adalah membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 1990 diikuti pada 1993. Beliau juga merupakan tonggak penting semasa Kedah muncul juara berganda pada 2007 dan 2008 sebagai penolong jurulatih Kedah.