PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vinganda memanggil dua pemain baharu bagi aksi menentang Korea Utara pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Thailand, pada 10 dan 13 November ini. Dua pemain tersebut adalah Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak) dan Hadin Azman (Felda United) yang masing-masing beraksi di posisi tengah. Kedua-duanya terpilih bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Darren Lok dan Baddrol Bakhtiar (Kedah) yang masih bergelut dengan kecederaan. Dalam pada itu, seorang lagi pemain JDT, Junior Eldstal yang dinamakan dalam senarai awal 24 pemain pada 1 November lalu turut digugurkan. Ini bermakna hanya 23 pemain skuad Harimau Malaysia yang akan berlepas ke Thailand, pagi Selasa. Ahmad Khairil Anuar Zamri. Sebelum ini, ketegangan politik yang melanda Korea Utara menyaksikan badan induk bola sepak Asia itu terpaksa menunda perlawanan antara dua negara buat kali ketiga, 28 September lalu. Namun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan kedua-dua aksi terbabut diadakan di negara Gajah Putih itu selepas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah. Korea Utara terlebih dahulu akan menjadi 'tuan rumah' pada aksi pertama yang berlangsung pada 10 Oktober, sementara aksi 13 November akan menjadi aksi di 'laman sendiri' buat skuad Harimau Malaya dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium I-Mobile, Buriram. Senarai pemain: Safiq Rahim, Ahmad Hazwan Bakri, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rashid, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Izham Tarmizi Roslan, Afiq Fazail, S Kunanlan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrom Abdul Kalam, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Wan Zack Haikal Wan Nor, Hadin Azman, Kiko Insa, Nor Azam Abdul Azih, Khairulazhan Khalid, Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad dan Syamer Kutty Abba.