MOSCOW: Rusia akan mengambil semua langkah perlu untuk mencegah serangan pengganas dan tindakan ganas, sepanjang berlangsungnya Piala Dunia Fifa 2018, lapor agensi berita TASS Rusia. "Keutamaan kami adalah untuk memastikan semua pemain dan peminat merasa selesa serta selamat ketika berada di Rusia," kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov dalam temu bual dengan Mexico Excelsior pada Jumaat. Berikutan itu, katanya sebuah pejabat operasi ditubuhkan, bagi menyelaras usaha pencegahan oleh agensi keselamatan.Menurutnya, perhatian serius juga diberikan kepada masalah tindakan ganas penyokong. "Bagi meminimumkan risiko, Rusia menjalin kerjasama erat dengan rakan dari negara luar," katanya. Piala Dunia Fifa 2018 akan diadakan bermula 14 Jun hingga 15 Julai 2018, di 11 bandar raya iaitu Moscow, St. Petersburg, Kazan, Nizhny Novgorod, Saransk, Kaliningrad, Volgograd, Yekaterinburg, Samara, Sochi dan Rostov-on-Don. Antara negara yang layak menyertai Piala Dunia 2018, selain tuan rumah Rusia ialah Belgium, Jerman, England, Sepanyol, Poland, Iceland, Serbia, Perancis, Portugal, Switzerland, Sweden, Croatia dan Denmark (Eropah). Negara lain, Brazil, Uruguay, Colombia dan Argentina (Amerika Selatan); Mexico, Costa Rica dan Panama (Amerika Utara); Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi (Asia); Nigeria, Mesir, Maghribi, Tunisia dan Senegal (Afrika). Bagaimanapun, kejohanan kali ini, menyaksikan ketiadaan Itali, yang gagal layak buat kali pertama sejak 1958. Turut gagal menempah tiket ke kejohanan berprestij itu ialah Belanda, Amerika Syarikat dan Chile. Peru muncul pasukan terakhir mengesahkan tempat selepas menundukkan New Zealand 2-0. Undian untuk menentukan kedudukan pasukan yang bertanding akan diadakan pada 1 Disember - Bernama