ANTONIO Conte menafikan dakwaan dia akan mengemudi Itali dan menyatakan niatnya untuk terus komited bersama Chelsea. Bekas pengurus Juventus itu pernah mengemudi Itali selama dua tahun sebelum meninggalkan jawatannya selepas Euro 2016. Penggantinya, Gian Piero Ventura dipecat pada 15 November selepas Itali gagal mara ke aksi Piala Dunia buat pertama kalinya sejak 1958 selepas tewas 0-1 kepada Sweden. Menurut portal Goal.com, Conte disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk mengisi kerusi panas tersebut. Ketika ditanya sama ada dia berminat untuk jawatan tersebut, Conte berkata buat masa ini fokusnya adalah melakukan yang terbaik untuk Chelsea. "Fokus utama saya sekarang adalah cuba membina struktur yang baik untuk Chelsea. "Saya mahu mewujudkan asas yang baik untuk pasukan. Kami menang musim lalu tetapi sekarang kami perlu berusaha keras dan saya amat fokus untuk membantu kelab. "Perasaan saya sama seperti mana-mana rakyat Itali yang lain. Pertama saya amat kecewa. Ia satu sejarah hitam dalam bola sepak. Selepas 60 tahun anda terlepas aksi Piala Dunia. "Anda tahu bola sepak amat penting di Itali. Ia amat diminati sesiapa sahaja. Setiap jabatan dalam pengurusan bola sepak Itali harus bertanggungjawab, bukan hanya seorang, dua atau tiga, seluruh negara juga gagal," katanya.