HASRAT seorang peminat untuk berswafoto dengan bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo tidak kesampaian apabila perbuatan lelaki terbabit disedari tujuh pengawal peribadi yang kebetulan berada di lokasi kejadian. Lelaki tersebut yang menyamar sebagai wartawan berjaya memasuki kawasan yang dikhaskan untuk petugas media sebaik sahaja Ronaldo dan rakan pasukannya tiba di sebuah hotel di Nicosia menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang APOEL. Satu rakaman video menunjukkan lelaki berusia 32 tahun itu dengan telefon bimbit ditangannya meluru ke arah Ronaldo yang baharu sahaja turun dari turun dari bas pasukan tersebut. Salah seorang pengawal berjaya menghalang lelaki itu dan kemudian bertindak mengheretnya keluar daripada kawasan khas tersebut. Semasa kejadian, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi secara kebetulan menginap di hotel sama dengan pemain Real. Oleh itu, tahap keselamatan di sekitar hotel terbabit dipertingkatkan ketika itu. Ini bukan insiden pertama membabitkan penyokong Ronaldo. Pada bulan lalu, seorang penyokong memakai jersi Real Madrid meluru masuk ke dalam padang ketika aksi menentang Getafe semata-mata mahu bertemu dengan Ronaldo.