PETALING JAYA: Bekas pemain pertahanan Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil menafikan dakwaan bahawa dia bertindak 'angkat kaki' daripada pasukan itu kerana tidak tahan dengan 'sikap keterlaluan' penyokong skuad The Red Warriors (TRW). "Saya tegaskan disini bahawa saya tidak pernah mengeluarkan mana-mana kenyataan di media cetak atau eletronik atau melalui temu bual mengenai komen penghijrahan saya. Saya tidak pernah menjatuhkan mana-mana pasukan, atau sesiapa sahaja berkaitan penghijrahan saya. "Saya berharap tidak ada yang mengambil kesempatan dan cuba untuk memutar-belitkan cerita dengan mengadakan cerita mengenai sebab penghijrahan saya dan sekali gus tidak mengelirukan mana-mana pihak ataupun melagakan saya dengan melibatkan banyak pihak," katanya menerusi posting di laman Instagramnya. Jelas Mohd Qayyum, dia tampil menjelaskan situasi sebenar kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan dan berharap agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan di atas penghijrahannya untuk sesuatu kepentingan. "Saya memohon maaf andai kenyataan ini menyakitkan hati mana-mana pihak dan berharap penghijrahan saya diterima baik sebagaimana saya menerima baik padangan positif dan negatif pihak lain tentang penghijrahan saya," katanya. Pada 13 November, Mohd Qayyum sah menyarung jersi PKNS FC pada saingan Liga Malaysia musim depan.Menurut pemain berusia 23 tahun itu, dia berhijrah ke PKNS FC kerana ingin menimba pengalaman baharu. Artikel berkenaan dakwaan tersebut turut dimuatnaik Mohd Qayyum di Instagramnya. "Ini adalah satu-satunya sumber rezeki saya," katanya. Pada masa sama, Mohd Qayyum turut meluahkan rasa bangga kerana pernah diberi peluang menyarung jersi skuad TRW. "Menyarung jersi skuad TRW menjadi satu kebanggaan besar buat diri saya kerana saya dapat berbakti untuk negeri kelahiran saya. Terima kasih kepada penyokong yang setia menyokong. "Sokongan dan kata kata semangat telah saya ambil sebagai satu semangat baru untuk permulaan karier saya. Terima kasih atas doa kalian dan di atas kepercayaan yang diberikan," katanya. Mohd Qayyum turut memuatnaik artikel yang dinafikannya itu di laman Instagram miliknya. Rata-rata netizen meminta pemain itu supaya tidak ambil pusing mengenai khabar angin tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya bersama pasukan baharu. Berdasarkan posting tersebut, Mohd Qayyum didakwa sebagai berkata dia berhijrah ke PKNS FC kerana tidak tahan dengan kata-kata kesat penyokong TRW khususnya di dalam stadium mahupun media sosial. Malah, Mohd Qayyum didakwa sebagai berkata kata-kata kesat dan berunsur penghinaan penyokong TRW turut memberi kesan kepada keluarganya.