KERAP didesak penyokong Arsenal untuk meletak jawatan, Arsene Wenger kini pasrah dan telah mengenal pasti pengganti terbaik untuk mengisi kerusi panas yang bakal ditinggalkannya di Emirates. Wenger telah menamakan bekas bintang Arsenal, Giovanni van Bronckhorst sebagai calon paling layak untuk menggantikannya. Pengendali kelahiran Perancis itu menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama The Gunners Mei lalu tetapi dia mengakui akan mengkaji semula kedudukannya pada akhir musim ini. Malah pihak pengurusan tertinggi kelab mahu memastikan setiap langkah diambil bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar. Van Bronckhorst semasa era kegemilangan bersama Arsenal. Van Bronckhorst mengambil alih Feyenoord pada 2015 dan membantu kelab Belanda itu menjulang trofi liga musim lalu selepas memenangi Piala KNVB dalam kempen pertamanya. Pengendali berusia 42 tahun itu memperkuat Arsenal selama tiga musim sebelum menyertai Barcelona pada 2004. Dia pernah memenangi dua trofi bersama Arsenal pada 2002. Wenger dikatakan amat mengagumi corak latihan Van Bronckhorst selepas berjaya mengemudi Feyenoord memenangi aksi liga pertama mereka dalam tempoh 18 tahun. Dia pernah bekerjasama dengan beberapa jurulatih terkemuka seperti Guus Hiddink, Dick Advocaat dan Frank Rijkaard sepanjang kariernya. Arsenal akan mendapatkan nasihat daripada Wenger berhubung calon sesuai untuk posisi pengurus pasukan itu, lapor Daily Star. Nama-nama seperti Thomas Tuchel, Eddie Howe dan Massimiliano Allegri juga akan dipertimbangkan pihak pengurusan tertinggi Arsenal tetapi Wenger mungkin mempengaruhi keputusan mereka.