suria

Bibi Ramjani Dedah Kaitan Bekas Pemain Manchester United Dengan TRW

Rodrigo Possebon (kiri)

PETALING JAYA: Khabar angin mengenai skuad Kelantan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Manchester United, Rodrigo Possebon akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, laporan itu tidak benar kerana beliau sendiri tidak dimaklumkan oleh panel pengurusan kejurulatihan skuad The Red Warriors (TRW) mengenai pemain tersebut.

"Buat masa ini laporan mengenai bekas pemain Manchester United itu akan ke Kota Bahru hanyalah khabar angin kerana saya pun tak tahu mengenainya.

“Lagipun Kafa tak mampu nak ambil pemain seperti itu. Kita kena berbelanja secara berhemah. Kalau ikut hati mati, ikut rasa binasa,” katanya kepada mStar Online.

Malah kata Bibi, keutamaan Kafa setakat ini adalah memulihkan kedudukan kewangan persatuan agar TRW tidak berdepan sebarang masalah bagi saingan Liga Malaysia 2018.

“Kita masih lagi perlu membayar hutang yang ditinggalkan pengurusan lama sejak 2013. Jadi kita kena susun strategi kewangan dengan betul bermula sekarang,” katanya.

Sementara itu, Bibi berkata fokus utama yang turut akan diberi tumpuan oleh Kafa bagi musim 2018 adalah memastikan TRW berada di kedudukan lima teratas dalam saingan Liga Super.

“Dalam keadaan kita bergerak ke hadapan,  prestasi pemain perlu ditingkatkan dan kalau boleh kita mahu berada dalam kelompok lima teratas... itu dah kira Alhamdulillah,” katanya.

Baru-baru sebuah akhbar bahasa Melayu mendakwa Possebon, yang pernah beraksi bersama Red Devils di bawah ken­dalian Alex Ferguson dari 2008 hingga 2010 menjadi import terbaharu dalam radar Kelantan.

Dakwa laporan itu, portfolio pemain dari Brazil itu mampu menarik perhatian peminat Kelantan untuk memenuhi stadium khususnya penyokong Red Devils.

Terdahulu, TRW berjaya mengikat kontrak dengan pemain import dari Korea Selatan, Do Dong-hyun selama dua musim selain memutuskan untuk mengekalkan khidmat Magaro Gomis.

Manchester United, Bibi Ramjani, TRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain