MADRID: Presiden Real Madrid Florentino Perez membuka pintu untuk Neymar menyertai kelab juara Eropah itu.
Katanya Real mampu membantu Neymar mencapai cita-citanya untuk meraih gelaran Ballon d'Or pada masa akan datang.
Neymar menduduki tempat ketiga di belakang Lionel Messi dan pemenang Cristiano Ronaldo dalam penganugerahan Ballon d'Or, Khamis dan Perez mencadangkan satu-satunya cara untuk pemain Brazil itu memecahkan dominasi dua pemain bintang itu selama satu dekad adalah dengan menyertai Real.
"Berada di Madrid lebih mudah untuk memenangi Ballon d'Or," kata Perez kepada radio Sepanyol.
"Madrid adalah kelab yang memberikan segala-galanya yang diperlukan oleh pemain besar. Semua orang tahu saya mahu menandatanganinya."
Perez cuba membawa Neymar ke Real dari Santos beberapa kali sebelum dia memutuskan untuk bersama Barcelona sebagai pemain utama pada 2013.
Dia menikmati kejayaan di Catalonia, membantu Barca memenangi treble pada 2015 sebelum berlepas ke Paris St Germain untuk rekod dunia bernilai £193.4 juta tahun ini. -Reuters