PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas pengendali The Red Warriors (TRW) Zahasmi Ismail sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden bagi musim 2018. Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata Zahasmi akan memulakan tugasnya menerajui skuad pelapis itu berkuatkuasa Jumaat ini. "Pada dasarnya dia bersetuju untuk membimbing skuad pelapis Kelantan. Dia ditawarkan kontrak selama setahun dan tugasnya akan bermula secara rasmi Jumaat ini," katanya kepada mStar Online. Jelas Bibi, khidmat Zahasmi masih diperlukan kerana bekas pemain Kelantan itu mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam kancah bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang itu. "Kita harap dia dapat melahirkan pemain pelapis yang berkualiti untuk diserapkan ke dalam skuad Liga Super pada masa hadapan," katanya. Menurut Bibi, Zahasmi turut akan terlibat dalam pemilihan pemain skuad Piala Presiden 2018 yang akan berlangsung di Padang 21 RAMD, Pengkalan Chepa pada 16 hingga 19 Disember ini. "Selain Zahasmi, pemilihan itu turut akan diadili kira-kira 10 bekas pemain Kelantan sebelum ini," katanya. Pada masa sama, Bibi turut berterima kasih kepada Zahasmi di atas komitmennya untuk terus berkhidmat bersama Kafa. "Kita amat gembira dan menghargai komitmennya. Dia antara bekas pemain Kelantan yang boleh dijadikan contoh pemain sedia ada," katanya. Kontrak Zahasmi selaku ketua jurulatih skuad Liga Super Kelantan berakhir secara rasminya akhir bulan lalu dan kerusi itu kini diisi Sathit Bensoh. Sathit akan dibantu oleh bekas ketua jurulatih Felcra FC, Yusri Che Lah untuk membimbing skuad TRW bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang lebih kompetitif musim depan.