suria

KFA Cari Pengurus Terbaik Jika Jeffrey Letak Jawatan

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mencari calon terbaik bagi menggantikan pengurus pasukan Kedah, Datuk Jeffrey Low Han Chow yang dikatakan berhasrat untuk melepaskan jawatannya, baru-baru ini.

Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memberi jaminan calon berkenaan bukan dalam kalangan ahli politik, sebaliknya mereka yang berpengalaman dalam bola sepak tanah air dan pemilihan dilakukan sepenuhnya oleh pengurusan tertinggi KFA.

“Dia (Jeffrey) berhasrat nak lepaskan jawatan bukan marah pada sesiapa, tetapi nak memberi tumpuan kepada perniagaannya, namun belum ada surat rasmi diberikan. Kita masih berbincang dengannya dan belum ada keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bersama Rakyat di Taman Sri Indah, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Batin, di sini, Jumaat.

Ahmad Bashah, bagaimanapun berkata jika Jeffrey meletak jawatan, KFA tiada pilihan lain dan perlu mencari pengurus pasukan baharu skuad Lang Merah agar tidak menjejaskan pasukan dan juga harapan penyokong untuk melihat pasukan berkenaan lebih cemerlang pada musim akan datang.

Beliau berkata KFA mempunyai mekanisme terbaik untuk memilih pengurus pasukan yang sesuai bagi menggalas tanggungjawab diamanahkan itu.

“Setakat ini kita belum ada senarai calon kerana masih menumpukan soal berkaitan Ketua Jurulatih Ramon Marcote Pequeno yang baharu menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan Lang Merah,” katanya.

Mengulas kononnya Setiausaha Politiknya, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin adalah calon bagi mengisi jawatan berkenaan, Ahmad Bashah berkata perkara tersebut hanya spekulasi.

“Itu viral..ikut depa (mereka)...suka viral siapa-siapa orang politik, orang korporat..itu semua saya tidak pakai dan keputusan akan dibuat oleh pengurusan KFA. Sehingga kini tiada calon yang didakwa datang bincang dengan saya... nasib baik bukan nama saya yang disebut jadi pengurus pasukan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jeffrey berhasrat melepaskan jawatan disandangnya itu sejak 2012 untuk memberi tumpuan di peringkat kebangsaan sebagai Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi program pembangunan, selain fokus terhadap perniagaan diceburinya selama ini.

Isu peletakan jawatan itu adalah kali kedua dilakukan Jeffrey selepas permohonan kali pertama pada awal 2015 ditolak pengurusan tertinggi KFA.

Jeffrey mula mengambil alih jawatan pengurus pasukan Kedah pada 2012 daripada Datuk Khazali Din. - BERNAMA

KFA, Jeffery Low

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain