suria

Kim Swee Umum 26 Pemain Hadapi Latihan Di Korea

Kim Swee.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee pada Jumaat mengumumkan senarai 26 pemain yang dipilih untuk kem latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan bermula 17 Disember.  Ia adalah sebagai persediaan untuk Kejuaraan B-23 AFC 2018 pada 9-27 Jan depan di Jiangsu, China.

Berdasarkan senarai tersebut, Kim Swee menggugurkan penjaga gol Amierul Hakimi Awang dari Terengganu FC II, Sean Eugene Selvaraj dari Selangor serta Danial Ashraf Abdullah dari Kelantan yang mengalami kecederaan daripada senarai awal 29 pemain yang menjalani latihan pusat selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 27 November lalu.

“Selepas mengambil kira semua faktor, satu keputusan yang amat sukar untuk saya lakukan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat merujuk kepada pengguguran beberapa pemain tersebut.  Skuad kendalian Kim Swee itu semalam terikat tanpa jaringan dengan Melaka United dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Shah Alam, selepas mereka membelasah PJ Rangers FC 8-2 pada aksi persahabatan pertama di Padang Wisma FAM, Sabtu lepas.

Menurut kenyataan itu, skuad 26 pemain tersebut akan berlepas ke Mokpo pada Ahad ini bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University pada 22 Disember dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.

Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan itu, Kim Swee akan menyenaraikan senarai akhir 23 pemain ke Kejuaraan B-23 AFC 2018, apabila mereka terbang dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Dis untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

Skuad negara yang dijadualkan tiba di Changshu pada 6 Jan, untuk memulakan saingan peringkat Kumpulan C menentang Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari, sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Malaysia perlu muncul sebagai dua pasukan teratas kumpulan untuk mara ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada 20 Januari, diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari.

Senarai 26 pemain:     

1. Haziq Nadzli, 19, Penjaga Gol, Johor Darul Ta'zim (JDT)

2. Safawi Rasid, 20, Penyerang, JDT

3. Dominic Tan, 20, Pertahanan, JDT

4. Adam Nor Azlin, 21, Pertahanan, JDT*

5. Syamer Kutty Abba, 20, Tengah, JDT*

6. Matthew Davies, 22, Sayap, Pahang

7. Nor Azam Abdul Azih, 22, Tengah, Pahang

8. Kogileswaran Raj, 19, Penyerang, Pahang

9. Syazwan Andik Ishak, 21, Sayap, JDT II

10. Hadi Fayyadh Abdul Razak, 17, Penyerang, JDT II

11. Ifwat Akmal Chek Kassim, 21, Penjaga Gol, Kedah

12. Akhyar Rashid, 18, Penyerang, Kedah

13. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, 21, Penjaga Gol, Negeri Sembilan*

14. N. Thanabalan, 22, Penyerang, Negeri Sembilan*

15. Ahmad Khairil Anuar Zamri, 22, Tengah, Perak

16. Syazwan Zaipol Bahari, 22, Pertahanan,  Perak*

17. Raphi Azizan Mariappen, 21, Pertahanan, PJ Rangers FC

18. Tommy Mawat Bada, 21, Sayap, PJ Rangers FC*

19. Shivan Pillay Asokan, 17, Pertahanan, PKNS FC

20. Jafri Firdaus Chew, 20, Penyerang, PKNS FC*

21. Adib Zainudin, 22, Pertahanan, Felcra FC

22. Danial Amier Norhisham, 20, Tengah, Felda United

23. Nik Akif Syahiran Nik Mat, 18, Tengah, Kelantan

24. Irfan Zakaria, 22, Pertahanan, Kuala Lumpur

25. K. Thivandaran, 18, Tengah, Pulau Pinang

26. Syahmi Safari, 19, Sayap, Selangor

(Nota: * Pasukan baharu 2018) -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Simeone Tak Halang Griezmann

Artikel Berikut

Artikel Lain