PENYERANG Atletico Madrid, Antoine Griezmann membuat permohonan maaf pada Ahad selepas menerima kecaman di media sosial gara-gara memuat naik sekeping gambar dirinya di Twitter dengan berpakaian sebagai Harlem Globetrotter yang dilitupi cat berwarna hitam dan memakai rambut palsu. Bintang kelahiran Perancis itu yang menyertakan kapsyen "80's party" pada gambar tersebut memberikan reaksi terhadap kritikan yang diterimanya dengan memuat naik sebuah lagi 'posting' yang berbunyi: "Tenang kawan-kawanku, saya peminat Harlem Globetrotter dan ia satu era yang gah, ini adalah sebuah penghormatan." Griezmann yang merupakan peminat bola keranjang dan pernah terbang ke Amerika Syarikat semata-mata untuk menyaksikan perlawanan NBA, kemudiannya memuat naik Tweet ketiga yang berbunyi: "Saya tahu tindakan ini suatu yang terburu-buru. Jika saya mengguris perasaan sesiapa, saya mohon maaf." Dia kemudian memadam gambar tersebut daripada akaunnya dan 'posting' kedua yang mempertahankan perbuatan tersebut sebelum ini. - Eurosport