DAVID Silva mendedahkan punca dia jarang kelihatan dalam skuad Manchester City sejak kebelakangan ini. Bintang antarabangsa Sepanyol dan kapten City itu dilihat kali terakhir bersama skuad ketika aksi kemenangan 3-1 ke atas Watford Rabu lalu. Malah pemain berusia 31 tahun itu terlepas aksi bertemu Tottenham Hotspur dan Piala Carabao Disember lalu sebelum menyertai kelab menentang Bournemouth pada 23 Disember. Pengurus Man City, Pep Guardiola memberitahu bahawa pemainnya itu berdepan dengan saat sukar berkaitan dengan keluarganya. Guardiola memberi kebenaran meluangkan masa dengan keluarganya. Silva bersama Yessica serta anaknya di Perancis 2016. Foto: Marca. Silva memuatnaik status di laman Instagramnya; "Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutama sekali kepada rakan sepasukan, pengurus dan kesemunya kerana memahami situasi saya sekarang. “Juga saya ingin berkongsi dengan anda mengenai anak lelaki saya, Mateo yang dilahirkan pra matang dan kini berjuang hari demi hari (untuk hidup) dengan bantuan pasukan perubatan.” Silva memberitahu situasi sebenarnya selepas dia kembali bersama skuad pada Selasa. Guardiola memberitahu bahawa Silva kembali ke Sepanyol untuk bertemu Yessica Suarez Gonzalez (teman wanita) dan Mateo. “Keluarga adalah paling penting. Kami tahu Silva adalah penting bagi pasukan, tetapi saya tidak pasti berapa lama dia akan berada di sini. “Dia bebas untuk pulang jika perlu berbuat demikian. Ia bukan masalah jika tidak dapat mengumpul mata sepanjang ketiadaannya. Keluarga lebih penting,” ujar Guardiola. Silva menerima sokongan daripada semua pihak seluruh dunia selepas mengumumkan situasinya sekarang, termasuk daripada bekas kelabnya Valencia.