JIKA sebelum ini bukan janggal untk Lionel Messi mencampakkan kasutnya ke arah peminat, amalan itu mungkin tidak akan dilakukannya jika dia memakai sepasang kasut yang istimewa ini. Ia bukanlah direka Messi sendiri, sebaliknya hasil ilham seorang peminat pemain warganegara Argentina itu. Menjadikan kasut Adidas itu unik ialah nombor jersi Messi, iaitu 10. Ia lebih istimewa apabila pada sisi kiri kasut kiri, tertera nama Anto yang merujuk kepada nama isteri Messi, Antonella. Tidak ketinggalah, dua nama anak mereka, Thiago dan Mateo. Untuk sisi kanan kasut itu pula tertera gambar Messi mengucup Antonella, selain dia bersama anak-anaknya. Pada kasut sebelah kanan peminat itu memaparkan detik kegemilangan pemenang lima kali anugerah pemain terbaik dunia berkenaan. Tidak ketinggalan gambar Messi meraikan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan ketika menundukkan Real Madrid 3-2 pada April tahun lalu. Kasut sebelah kanan itu juga didominasi warna merah dan biru sesuai dengan jersi Barcelona. Pada kasut kiri pula warna biru dan putih menonjol dan ia selaras dengan warna jersi pasukan kebangsaan Argentina.