THOMAS Lemar telah bersetuju untuk menyertai Liverpool pada musim panas tetapi minat Arsenal memaksa bintang Monaco itu berfikir semula untuk menolak Anfield. Menurut wartawan Duncan Castle, Liverpool berminat untuk menandatangani Lemar dari Monaco dengan pemain antarabangsa Perancis itu akan dijadikan pengganti Philippe Coutinho. Coutinho meninggalkan Anfield untuk ke Barcelona hujung minggu lalu, menyebabkan pasukan Jurgen Klopp memerlukan pemain di bahagian serangan untuk separuh kedua musim ini. Selain Liverpool, Arsenal dan Manchester United juga berminat dengan Lemar dan ketiga-tiga pasukan itu akan membawanya ke Liga Perdana. Castles, yang bercakap di Transfer Window Podcast, mendakwa Liverpool sudah pun mempunyai persetujuan dengan pemain sayap itu, tetapi bayaran yang ditawarkan Arsenal membuatkan dia membuat pertimbangan semula. Apabila membincangkan tentang Arsenal, dia berkata: "Seorang pemain yang mereka cari untuk menggantikan Sanchez adalah Thomas Lemar, dialah pemain yang mana mereka telah bersetuju dengan bayaran ditetapkan Monaco untuk jendela musim panas. "Lemar, yang juga dikehendaki oleh Manchester United dan disenaraikan Jose Mourinho untuk pemain sayap mungkin terlalu mahal bagi mereka. "Liverpool yang cuba mendapatkannya pada musim panas dan sudah mempunyai perjanjian dengannya telah dikalahkan oleh Arsenal yang menawarkan bayaran lebih tinggi supaya pemain itu tidak ke mana-mana. "Perjanjian itu mungkin sudah berubah sekarang. "Lemar masih memberitahu Liverpool bahawa dia akan ke sana, jika mereka boleh menyepakati perjanjian. "Tetapi Liverpool kini perlu bersetuju tentang harga dengan Monaco dan mereka menangguhkannya, ini kerana Monaco, cukup bijak apabila menyedari terdapat tiga kelab terkemuka Inggeris mahukan pemainnya dan mereka boleh menunggu. "Mereka boleh melakukan kesepakatan sekarang atau boleh menunggu serta mereka melihat sekurang-kurangnya £85 juta sebagai bayaran pemindahan berpotensi untuk pemain berusia 22 tahun itu dengan beberapa tahun pengalaman bermain di Liga Juara-Juara." Lemar menyerlah apabila Monaco memenangi gelaran Ligue 1 musim lepas. Tetapi pemain berusia 22 tahun itu mendapati situasinya lebih sukar musim ini. Lemar menjaringkan hanya tiga gol daripada 19 perlawanan sejak perpindahannya ke England tidak menjadi kenyataan. -expressUK