suria

Masters Malaysia: Tiga Beregu Negara Ke Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR: Masih segar bergelar juara Masters Thailand dua hari lalu, tumpuan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kini terarah kepada kejohanan Perodua Masters Malaysia di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro itu mengekalkan rentak kemenangan apabila mudah mara ke pusingan kedua Masters Malaysia dengan menundukkan pasangan Bastian Kersaudy-Lea Palermo dari Perancis, 21-11, 21-17.

Menanti mereka di perlawanan seterusnya adalah pasangan berpengalaman Mathias Christiansen-Christinna Pedersen dari Denmark yang menewaskan Lu Kai-Zhou Chaomin dari China 21-13, 21-18.

“Kami baru balik dari Thailand semalam (Isnin), pagi ini terus uji gelanggang dan perlawanan pada sebelah petang. Setakat ini, kami berpuas hati dengan prestasi kerana masih dapat memberi saingan dan menang perlawanan pertama ini.

“Gandingan saya bersama Peng Soon juga semakin bagus dan berharap dapat mengekalkannya bagi menghadapi beberapa kejohanan tahun ini,” kata Liu Ying kepada pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu juara bertahan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing hampir tersingkir awal apabila kalah pada set pertama 11-21 namun bangkit pada dua set seterusnya dengan kemenangan 21-16, 21-14 menewaskan Anders Skaarup Rasmussen-Line Hojmark Kjaersfeldt dari Denmark.

Menurut Pei Jing, peluang semua pemain untuk meraih kejuaraan lebih terbuka kerana kejohanan kali ini disertai pemain terbaik dunia berbanding tahun lepas.

Beliau berkata saingan bukan sahaja tertumpu kepada pemain luar tetapi rakan sepasukan seperti Peng Soon-Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Jemei Lai yang turut mempunyai prestasi cemerlang.

“Kami mahu fokus perlawanan demi perlawanan, pemain lain yang mengambil bahagian semuanya hebat. Saya berharap kami dapat mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan ini kerana beraksi di gelanggang sendiri,” kata Pei Jing.

Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu satu lagi pasangan negara Chen Tang Jie-Cheah Yee See atau Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul dari Thailand pada Khamis ini.

Turut mara satu lagi pasangan negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menewaskan Jacco Arends-Selena Piek dari Denmark dengan 21-17,  21-17.Menanti mereka di pusingan seterusnya adalah Wang Chi Lin-Lee Chia Hsin dari Taiwan - Bernama

Masters Malalaysia, Badminton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain