suria

Messi Gagal Penalti, Barca Kalah Mengejut Kepada Espanyol

-fotoAFP

BERLAKU kejutan pada perlawanan pertama suku akhir Copa del Rey apabila Espanyol mengalahkan Barcelona 1-0 di Stadium RCDE, Barcelona, awal pagi Khamis.

Gol tunggal Espanyol dijaringkan oleh Oscar Melendo, melalui sentuhan pertamanya dalam pertandingan itu setelah dibawa masuk ke padang sebagai pemain ganti.

Melendo melepaskan tendangan kaki kiri yang gagal dihalang penjaga gawang Barcelona Jasper Cillessen, sekali gus membuatkan Barcelona terpaksa menelan kekalahan pertamanya sejak Piala Super Sepanyol.

Pertandingan ini cukup membuatkan Lionel Messi dan rakan-rakannya kecewa.

Skuad asuhan Ernesto Valverde banyak melakukan serangan dan mendapat banyak peluang tetapi tetap tidak dapat menjaringkan gol.

Malah, Messi gagal menyumbat masuk penalti yang dihadiahkan pada minit ke-62, apabila tendangannya berjaya dihalang penjaga gol Espanyol Diego Lopez.

Tuan rumah yang mendapat sokongan luar biasa apabila Lopez menggagalkan tendangan penalti Messi bangkit untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

Pertandingan ini juga dilihat menjadi satu eksperimen buat Valverde dengan menyenaraikan ramai pemain muda.

Bakat muda Carles Alena menjadi starter di bahagian tengah, manakala Jordi Alba, Ivan Rakitic, Andres Iniesta dan Luis Suarez diletakkan di bangku simpanan.

Walaupun kalah, Barcelona masih mempunyai peluang untuk membalas pada pertemuan kedua, dua minggu akan datang di Stadium Camp Nou.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain