suria

Do Heon Kapten Skuad Rusa

Skuad Negeri Sembilan. Foto kredit: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Pemain import dari Korea Selatan Kim Do Heon dipilih menggalas  tugas sebagai kapten skuad Rusa bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin berkata pemilihan pemain berusia 35 tahun itu berdasarkan pengalamannya yang telah bermain bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan pada dua edisi Piala Dunia, dua Sukan Olimpik dan juga Sukan Asia.

"Pengalaman luasnya itu amat berguna untuk membimbing pemain lain termasuk pemain muda kita. Kim merupakan wakil terbaik dalam kalangan pemain untuk memikul tanggungjawab itu. Pemilihannya juga dipersetujui pemain dan pengurusan," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Selain Kim, skuad Rusa turut diperkuatkan empat pemain import lain iaitu Madhu Mohana dari Singapura, Flavio Junior  dari Brazil, Nicholas Velez dari Argentina dan Renars Rode dari Latvia.

Skuad Rusa dibimbing oleh pengendali Jerman, Jorg Steinnebrunner dan dibantu Mohd Asri Ninggal.

Katanya skuad Rusa kini dalam fasa terakhir persiapan menjelang perlawanan pertama Liga Super musim ini pada 3 Feb ini.

"Selepas mengadakan aksi persahabatan di Kemboja baru-baru ini, kita mengatur beberapa perlawanan persahabatan di sini. Semalam (Sabtu) kita menewaskan Mascara United dari Pahang dengan keputusan 2-1. Selepas itu, kita akan menghadapi pasukan kebangsaan bawah 19 (tahun) pada 25 Januari ini.

"Bagaimana pun, tempat perlawanan itu belum ditetapkan lagi.Ujian terakhir kita ialah berdepan dengan Home United dari Singapura di Stadium Maybank, Bangi pada 27 Jan ini. Semua perlawanan ini penting untuk kita menilai dan membaiki kelemahan kita sebelum sepak mula Liga Super pada 3 Feb," katanya.

Mohamad Haslah berkata setakat ini persiapan pasukan berjalan lancar dan beliau berpuas hati dengan kemampuan pasukan.

"Saya dapati pemain sudah menunjukkan keserasian antara satu sama lain dan juga komitmen tinggi dipamerkan mampu meletakkan Negeri Sembilan selaku pencabar terkuat Liga Super musim ini," katanya.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain