SHAH ALAM: PKNS FC akan memulakan saingan Liga Malaysia 2018 dengan kelainan dan strateginya tersendiri. Dengan menggunakan slogan baharu ‘Fight All Fear None', skuad kendalian Datuk K.Rajagobal ini bakal tampil dengan beberapa muka baharu. Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, untuk bersaing dengan pasukan lain, mereka perlu memantapkan pasukan dengan pemain yang hebat serta pemain muda yang bertenaga. “Apa yang kita buat dari segi kelainan, kita perlu memilih pemain yang berkualiti. “Tahun ini kami hanya memilih 27 pemain berbanding 30 orang sebelum ini. “Kita juga hanya mengekalkan sepuluh pemain senior dan selebihnya adalah pemain-pemain muda. “Ini kerana tenaga muda diperlukan dari segi fizikal dan dalam masa sama perlu digandingkan dengan pemain senior,” jelasnya kepada mStar Online selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Pasukan pada Khamis. Dalam pada itu, Siti Zubaidah berharap PKNS FC tahun ini dapat menjulang sekurang-kurang satu piala. “Setiap tahun kita selalu mengharapkan satu piala dirangkul tetapi setakat ini belum kesampaian lagi kerana sedar pasukan dalam Liga Malaysia hebat semuanya. “Untuk tahun ini pengurusan meletakkan sasaran satu piala kepada pemain PKNS FC. “Kami berharap ia berjalan lancar ditambah pula dengan kehadiran lima pemain import baharu,” tambahnya. Selain itu, oren kekal sebagai jersi pertama pasukan, biru sebagai jersi kedua, serta merah kuning sebagai alternatif.