suria

Isu Stadium Tidak Jejas Prestasi Selangor

Pemain Kuala Lumpur Guilherme De Paula (depan) cuba mengawal bola dari diasak pemain Selangor Kannan Kalaiselvan dalam saingan Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Bernama

KUALA LUMPUR: Selangor membuktikan mereka masih layak digelar pasukan gergasi di Malaysia apabila berjaya melakar kemenangan pertama Liga Super 2018 menewaskan Kuala Lumpur 2-0 meskipun dilanda pelbagai konflik sepanjang tempoh persiapan pramusim.

Ketua jurulatih Selangor, P. Maniam berkata sikap profesional barisan pemainnya serta fokus yang tinggi terhadap perlawanan adalah kunci kejayaan Selangor berhasil membawa pulang tiga mata penuh pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad.

Maniam.

“Kami (pihak pengurusan) sentiasa mengingatkan para pemain bahawa itu semua adalah halangan yang akan menggangu fokus sekiranya mereka (pemain) membiarkan ia masuk ke dalam fikiran.

“Sebelum perlawanan bermula para pemain sudah menunjukkan semangat yang tinggi dan hasil daripada sikap positif yang ditunjukkan, kami berjaya meraih kemenangan pada perlawanan pertama ini,” katanya kepada pemberita.

Selangor, juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali menerima tamparan hebat selepas tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang keramat skuad ‘Gergasi Merah' selama dua dekad sebagai venue tuan rumah bagi saingan Liga Super 2018 kerana perselisihan faham antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri.

Isu tersebut bertambah parah selepas hasrat menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium alternatif turut ditolak dua minggu sebelum liga bermula meskipun pada awalnya telah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Namun, perkembangan terbaharu menyaksikan Selangor akhirnya berjaya menemui jalan penyelesaian selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai venue tuan rumah musim ini.

Dalam pada itu, kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur hasil jaringan penyerang import dari Sepanyol Rufino Segovia Del Burgo pada minit ke-16 dan 90 menyaksikan Selangor kini menerajui takhta liga dengan berkongsi tiga mata bersama-sama juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka dan pendatang baharu, PKNP FC.

Mengulas mengenai perlawanan pada Ahad, Maniam gembira dengan perkembangan pasukannya yang mempunyai kombinasi pemain senior dan muda, namun menegaskan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi kedua menentang Melaka Rabu ini.

“Kita boleh nampak pemain-pemain muda dan senior, mereka bergabung dengan sangat baik. Pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik tetapi separuh masa kedua, kami gagal menguasai perlawanan disebabkan mereka (lawan) banyak mengasak kerana mereka perlu menjaringkan gol.

“Tetapi dalam konteks serangan balas kami nampak bahaya dan kita akan cuba perbaiki segala kesilapan malam ini pada perlawanan seterusnya,” jelas Maniam. - Bernama

Liga Super 2018, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain