KUALA LUMPUR: IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad sekali lagi bergabung untuk membawa Cabaran Duo Lebuhraya 2018 yang menjanjikan saingan lebih sengit peserta berlari di Kuala Lumpur pada tahun ini. Cabaran ini dianjurkan oleh Besraya (M) Sdn Bhd (Besraya), New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE), dan EC Pixels. Tiga kategori disediakan iaitu cabaran bagi kategori 13 kilometer untuk acara utama dan 6km 'Fun Run' pada 29 April 2018. Manakala Cabaran Lebuhraya NPE pula menawarkan jarak yang lebih mencabar iaitu 21km maraton separuh serta larian 10km pada 29 Julai 2018. “Kami sangat berbangga untuk mengumumkan penganjuran IJM Allianz 'Duo Highway Challenge' untuk tahun 2018 dimana acara ini membuktikan komitmen jangka panjang kami untuk terus menyumbang secara positif kepada sukan dan masyarakat," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon. Penganjur turut berbesar hati untuk mengumumkan tiga penerima sumbangan khas hasil dari dana lebihan yang dikutip pada IJM Allianz Cabara Duo Lebuhraya tahun lalu. Sumbangan khas tersebut akan diberikan kepada Persatuan Lysosomal Malaysia yang menerima wang tunai sebanyak RM 10,000, manakala Sekolah Rendah Agama Medan Harun pula menerima set penghawa dingin bagi bilik guru dan Projek Perumahan Rakyat Seri Malaysia menerima sumbangan kemudahan dan alatan untuk bilik mesyuarat. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir berkata: "Dua larian, dua jarak kompetetif, dua lebuhraya. Ini adalah acara yang sangat bertepatan dengan azam Tahun Baru yang telah ditanam. "Ini juga antara faktor mengapa Allianz sangat berbangga untuk sekali lagi bekerjasama dengan IJM bagi menganjurkan IJM Allianz Cabaran Duo Lebuhraya 2018. "Kerjasama ini dibuat berdasarkan matlamat bersama kami untuk mengukuhkan komitmen dalam memacu agenda gaya hidup yang sihat di kalangan rakyat Malaysia. Ia memberikan pengalaman baharu dan cabaran luar biasa kepada para peserta sebagai objektif, saya rasa Cabaran Duo Lebuhraya ini telah mencapai matlamatnya," jelasnya. Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan EC Pixels, Eugene Chan mengakui tahun ini pihaknya membuat keputusan untuk memperkenalkan kategori antarabangsa bagi memberikan peluang kepada semua peserta luar negara berlari di atas lebuhraya ini. "Kami sentiasa mencari peluang baru untuk memastikan acara ini menarik di mata peserta," jelasnya. Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran, larian dan kit larian, sila layari www.ijmhighwayrun.com atau www.justonlineregistration.com Pendaftaran ditutup pada 31 Mac 2018 untuk Besraya Highway Challenge (E9) dan 30 Jun 2018 untuk NPE Highway Challenge (E10).