suria

Felda United Menang Bergaya

KUALA LUMPUR: Pasukan Felda United mengekalkan kedudukan teratas Liga Premier 2018 selepas menang bergaya 6-2 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi kedua liga di Stadium Hang Jebat, Melaka pada aksi Selasa malam.

Kemenangan kedua berturut-turut yang diraih skuad ‘The Fighters' menyaksikan mereka mengutip enam mata.Pemain import dari Brazil, Gilberto Valdenesio Fortunato muncul wira Felda United selepas meledak jaringan hatrik pada minit kesembilan, minit ke-43 dan minit ke-72.

Tiga lagi gol pasukan berkenaan dijaringkan oleh kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan pada minit ke-40, Ahmad Syamim Yahya (minit ke-50 ) dan pemain import dari Filipina, Iain Ramsay pada minit ke-55.

Pasukan PDRM bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pemain import dari Romania, Petrisor Voinea pada minit ke-74 dan Khairul Izuan Abdullah, selang lapan minit kemudian.

Pulau Pinang pula meraih kemenangan sulung selepas menang tipis 2-1 ke atas pendatang baharu, UKM FC pada aksi di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Mohd Azinee Taib meledak dua jaringan untuk skuad Harimau Kumbang pada minit ke-24 dan minit ke-74 sebelum Mohd Faidzol Fazreen Shamsudin mengurangkan defisit jaringan untuk UKM FC pada minit ke-88.

Tiga lagi aksi Liga Premier di antara Kuantan FA dan MIFA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Terengganu FC II dan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu serta perlawanan di antara Felcra FC dan Sabah di Stadium Shah Alam, berakhir dengan keputusan seri 1-1.- Bernama

Felda United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain