KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sedang menjalankan siasatan dalaman selepas pihaknya menerima laporan beberapa pemain pasukan bola sepak negeri berkenaan terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan. Presiden FAS Datuk Posa Majais sudah mengarahkan pengurus pasukan, Kol (PA) Wahab Abdul Rahim mengetuai siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang. Menurut FAS, pihaknya memandang serius terhadap salah laku itu sekiranya benar berlaku, sebagaimana ikrar bebas rasuah persatuan yang dilafazkan di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini. “Sekiranya benar, pemain disyaki akan digantung daripada pasukan. FAS ingin memohon maaf kepada semua pihak khasnya kesemua penyokong terhadap keputusan di luar jangkaan semalam biarpun kemenangan sudah hampir berada di tangan kita," menurut FAS dalam kenyataan di sini Ahad malam. Dalam saingan Liga Premier di Stadium Sarawak, pasukan tuan rumah tumpas kepada Felcra FC 2-3, meskipun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.- Bernama