suria

ACC: Fatehah Tersingkir Awal Acara Pecut

NILAI: Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa kecundang seawal pusingan kedua acara pecut wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2018 (ATC) pada Ahad.

Fatehah, 29, gagal ke suku akhir setelah tewas kepada Guo Yufang dari China pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini.B

Dia yang pernah memenangi pingat emas acara itu pada 2013 mengakui kesilapan sendiri kerana tersalah strategi ketika saringan.

“Kecewa... sepatutnya boleh menang... pada selekoh pertama saya tidak perasan dia memotong saya dari bawah, itu satu kesalahan saya.

“Saya tidak boleh lakukan apa-apa, dia lebih laju. Saringan acara pecut pula hanya sekali sahaja kayuh dan tiada peluang kedua,” katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Fatehah berkata biarpun nasib tidak menyebelahi dirinya dalam acara pecut beliau optimis akan bangkit bagi acara keirin pada Selasa ini.

Katanya beliau tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di depan  penyokong negara dan bertekad  mempamerkan aksi kompetitif  bagi acara terakhirnya itu..

“Saya berharap ada peluang podium dalam acara keirin pada selasa ini.  Tahun lepas tiada pingat jadi tahun ini sebagai tuan rumah saya mahu mempamerkan aksi terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Saingan yang paling sengit adalah Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun. Semua peserta dalam prestasi yang terbaik dan peluang untuk podium terbuka,” katanya.

Pada Sabtu Fatehah memenangi pingat gangsa dalam acara ujian masa 500 meter.--Bernama

Fatehah Mustafa, ACC

Artikel Sebelum

ACC: Amar Hampir Bergelar Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain