suria

Skuad Berbasikal Para Raih Lima Emas

NILAI: Skuad berbasikal trek paralimpik kebangsaan menamatkan kempen Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2018 dengan cemerlang selepas menambah lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa pada hari keempat kejohanan yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini, Isnin.

Kejayaan itu menyaksikan skuad negara unggul apabila meraih keseluruhan sembilan daripada 12 pingat emas ditawarkan dalam kategori berkenaan pada kejohanan edisi ke-38 itu.

Tiga daripada lima pingat emas itu diraih dalam kategori lelaki menerusi Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara 1Km Ujian Masa C1-C3, diikuti Zuhairi Ahmad Tarmizi (1Km Ujian Masa C4-C5) dan trio Muhammad Adi Raime Amizazahan, Mohd Najib Turano dan Zuhairi dalam acara Pecut Berpasukan.

Dua lagi pingat emas negara disumbangkan gandingan Nur Syafinaz Mohd Zais-Noraidillina Adilla J.Sam dalam acara 500 meter Ujian Masa (B) serta pasangan Aiman Asyraff Ahmad Bajuri-Mohd Faizal Mohamed Noh dalam acara 1Km Ujian Masa (B).

Dua pingat perak negara pula dimenangi gandingan Nur Syahida Tajudin-Nurul Suhada Zainal dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali-Muhammad Firdaus Mohd Zonis, masing-masing menerusi acara 500m Ujian Masa (B) dan 1Km Ujian Masa (B).

Sementara pingat gangsa negara disumbangkan Muhammad Afiq Afify Rizan-Muhammad Khairul Adha Rasol dalam acara 1Km Ujian Masa (B); Shukor Farhan Suliman (1Km Ujian Masa C1-C3) dan Mohd Najib (1Km Ujian Masa C4-C5). - Bernama

ATC 2018

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain