KUALA LUMPUR: Kuantan FA melakar kemenangan pertama musim ini pada saingan Liga Premier apabila membelasah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Penyerang dari Montenegro, Zarko Korac paling mencuri tumpuan apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-51, 75 dan 85 selepas Andre Francisco Williams ataupun lebih dikenali sebagai Andrezinho membuka jaringan pertama ‘The Seagulls' seawal minit kelima perlawanan. Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Ismail Zakaria memperoleh kemenangan pertama Liga Premier musim ini selepas mengharungi empat perlawanan dengan mengumpul lima mata keseluruhan. Dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu II gagal menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri setelah tewas 2-3 di tangan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan gol UiTM dijaringkan oleh Bakary Dao pada minit ke-16 dan Lucas Ramon Pugh (minit ke-38) manakala jaringan Sang Penyu disumbangkan oleh Akanni Sunday Wasiu (minit ke-34, 45). Gol kemenangan UiTM dijaringkan oleh Lucas pada minit ke-81 untuk membolehkan ‘The Lions' membawa pulang tiga mata berharga.Sementara itu, perlawanan melibatkan Felcra FC dan MIFA bermula lewat 45 minit berikutan hujan lebat. Sejurus perlawanan bermula, kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang dan tiada jaringan dihasilkan pada separuh masa pertama. Babak kedua menyaksikan Mifa terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan penyerang dari Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-51 namun ketika ‘The Indian' seakan memenangi perlawanan, David Laly menjadi penyelamat ‘The Rivals' dengan menyumbat gol penyamaan pada lewat permainan untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. -Bernama