PETALING JAYA: Selepas Ulisses Morais melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), kini tiba giliran pemain kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz apabila memilih untuk mengikut jejak yang sama. Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan melalui Facebook Johor Southern Tigers berkata, pemain itu meninggalkan hotel penginapan pasukan pada pukul 12.00 tengah malam Ahad di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC. Edwards. "Ejen beliau telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab. "Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan dia pergi. "Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka Jun nanti," tulisnya. Sementara itu, jurulatih kelab, Raul Longhi pada Selasa mengulas tentang perletakan jawatan Morais dengan berkata:"Saya mengambil tanggungjawab ini dengan positif walaupun sedih apabila Morais telah tiada bersama kami. "Bagaimanapun agenda dan polisi kelab harus diteruskan. "Saya harus mengingatkan yang semua pemain termasuk barisan staf menghormati polisi kelab, dan tiada orang lebih besar daripada kelab. Itu adalah keutamaan saya," tegas Longhi. Sebelum ini, Morais yang berusia 58 tahun terpaksa membuat keputusan sukar selepas terdapat perkara lebih penting perlu diutamakan. Jelasnya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad, tugasannya berakhir di kelab hebat itu. "Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama-sama dengan begitu banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai. "Juga kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas disini menjadi lebih mudah," ujarnya.