suria

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysian Tigers Baham Ireland

IPOH: Malaysia mengejutkan Ireland dengan kemenangan 4-1 dalam perlawanan  pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di Stadium Azlan Shah, Sabtu malam.

Kapten pasukan, Razie Rahim serta barisan pemain skuad kebangsaan wajar diberi pujian  kerana  berjaya mempamerkan aksi cemerlang dari minit pertama sehingga wisel penamat ditiup.

Kesungguhan Malaysian Tiger mahu mengalahkan pasukan ranking ke-10 dunia itu dapat dilihat melalui gol pertama Malaysia oleh jaringan Razie pada minit keempat melalui gerakan solo dari tengah padang.

Dengan jaringan itu, semangat pasukan Malaysia untuk mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan malam ini kian memuncak dan hasilnya pada minit kesembilan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyumbat gol kedua menerusi jaringan padang.

Seterusnya, pada minit ke-24 dan ke-44, Razie sekali lagi menceriakan ribuan penyokong di stadium itu apabila menggegarkan gawang Ireland, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti.

Gol sagu hati Ireland dijaringkan oleh Kirk Shimmins pada minit ke-53 menerusi jaringan padang.

Sementara itu,  Jurulatih pasukan kebangsaan Stephen Van Huizen ketika ditemui selepas  perlawanan berkata kemenangan malam ini amat membantu memberi keyakinan kepada para pemain untuk perlawanan seterusnya.

“Kemenangan malam ini sememangnya menaikkan moral pemain, bagaimanapun ini hanya perlawanan pertama kita masih ada baki empat perlawanan lagi. Esok (Ahad) kita akan bertemu Australia yang mana semua tahu apabila bertemu pasukan nombor satu dunia itu, kita perlu fokus dari minit pertama permainan dan kurangkan kesilapan,” katanya. -Bernama

Hoki, Piala Sultan Azlan Shah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain