PETALING JAYA: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluah kekecewaannya terhadap beberapa pemain. Tunku Ismail menzahirkan kekecewaanya berhubung tindakan beberapa pemain JDT yang cuba melengahkan masa perlawanan ketika bertemu Sabah dalam aksi Piala FA, Sabtu malam. "Pada saya, pengadil perlu memberikan kad kepada mana-mana pemain yang melengahkan masa perlawanan tidak kira mana-mana pasukan. "Itu adalah penyakit di Malaysia yang perlu kita tangani dan hapuskan. "Sudah lama kita lihat apabila sesebuah pasukan yang sedang mendahului, mereka mesti cuba untuk membuang dan melengahkan masa. "Saya berharap mentaliti seperti ini tidak perlu ada dalam bola sepak tanah air ini," jelasnya di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers. Aksi perlawanan JDT bertemu Sabah. Dalam masa sama Tunku Ismail turut memuji pemain-pemain Sabah yang telah menunjukkan semangat juang yang bagus. "Para pemain mereka telah bermain dengan semangat juang yang baik dan mereka telah menyukarkan kerja kami untuk memenangi perlawanan pada malam ini. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Sabah yang telah melayan kami dengan baik." Pada perlawanan tersebut, JDT hampir kecundang apabila Sabah mendahuli perlawanan pada minit ke-24, namun pada babak kedua mereka kembali menemui rentak permainan. Dua gol jaringan Luciano Figueroa dan Gonzala Cabrera berjaya membawa JDT ke pusingan ketiga Piala FA.